Tuesday, January 25, 2011

KARYATIGA

Pondok Usang

EPISODPERTAMA
 “ Ifa, angkat kain di luar tu sebelum basah! “ jerit Senah dari dapur. Hujan batu yang menghempap atap zink rumah itu telah mencabar frekuensi nada Senah yang sibuk memasak gulai ikan sembilang kegemaran suami dan anak-anaknya. Dengan kudrat yang seakan-akan  tiada dalam diri Sharifah, dia menggagahkan diri juga untuk bangun mengangkat kain jemuran yang bersidai di luar. Satu per satu tangga kayu yang menghubungkan pondok itu dengan bumi dituruni Sharifah.
                Di satu sudut di bawah pondok, Azman sedang mengorek keluar anai-anai yang rakus menggigit tiang pondok itu. Apalah yang kau dendamkan dengan rumah ini, wahai anai-anai? Azman bermonolog sendirian. Pak Salim hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya. Dalam hatinya yang suci itu, dia resah memikirkan pondok buruknya entah berapa lama akan bertahan. Andai runtuh dimamah bumi, di manakah mereka sekeluarga akan berteduh?
__________________________________________________________________________________
EPISODDUA
20 tahun kemudian…….
Kereta Suzuki Swift meluncur laju atas jalan raya tar yang tidak pernah penat berkhidmat kepada penggunanya.Pemandunya yang berkaca mata hitam, berkemeja putih kelihatan segak dengan rambutnya yang tersisir rapi.Namun, di sebalik wajah yang tenang itu, hatinya gundah memikirkan apa yang bakal diperkatakannya nanti di hadapan kedua-dua orang tuanya. Kuatkan iman, Man…..
“ Mak, ayah, Man dan fikirkan jalan yang terbaik untuk k ita dapatkan duit. Kita jualkan saja rumah ni, tanah yang kita ada ni. Mak dan ayah boleh tinggal dengan Man di bandar. Sekurang-kurangnya, boleh Man tengok-tengokkan mak dan ayah. “
Senah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum mendengarkan cadangan Azman yang pada benaknya, tidak masuk akal. Atas rasional apa perlu dijualkan rumah pusaka ini? Bukannya mereka papa kedana sehinggakan sesuap nasi pun tidak dapat dimamah. Dalam kepala Pak Salim, dia juga memikirkan perkara yang sama seperti isterinya. Kalau bukan kerana tanah tinggalan arwah mak mentuanya itu, dia dan Senah tidak mungkin dapat menjaga anak-anak mereka dengan baik seperti sekarang.
“ Tidak mengapalah Man, tak perlulah kau bersusah-payah memikirkan tentang mak dan ayah kamu ni. Kami cukup bahagia dengan kehidupan kami di sini. Mak pun dah cukup bersyukur dengan apa yang mak ada ni, walaupun tak banyak”, lembut Senah menjawab.
Hati Azman panas. Tidak faham lagikah orang tua ni? Tidak kuhiraukan pondok usang ini! Tanah yang dipijaknya kini bernilai puluhan ribu ringgit . Aku mesti dapatkannya, suara hati Azman hanya tersimpan di benak hati. Azman cuba memujuk bapanya dengan harapan Pak Salim akan menurut katanya kerana sejak dahulu lagi bapanya lebih lembut orangnya berbanding ibunya yang tegas itu. Namun, ternyata hati kedua-dua ibu bapanya sudah keras untuk terus tinggal di situ. Azman yang sudah hilang kesabaran itu tidak betah melembut-lembutkan kata-katanya lagi.
“ Buat apa ingin disimpan lagi kotak buruk ni? Sudah tak berguna! Tengoklah atapnya yang sudah berlubang-lubang macam kena tembak dengan askar Jepun! Silap haribulan, anak harimau boleh masuk dalam lubang-lubang ni. Zaman ni, mana ada rumah beratapkan zink lagi! Pondok ni hanya layak masuk muzium saja! Mak dan ayah……….belum sempat Man melepaskan amarahnya, Senah memotong percakapan anaknya itu.
“ Man! Kau memang dasar anak tak bersyukur! Pondok buruk inilah yang menjadi tempat teduh kau, pondok yang kaukata buruk nilah tempat kau belajar sampai masuk kolej. Apa kau tidak bersyukur lagi dengan nikmat ini? Sudahlah Man, kau cakaplah apa-apa pun, mak dan ayah tetap akan tinggal di sini selagi hayat dikandung badan.” Sebaris ayat itu diucapkan bersama linangan air mata. Azman menghentak kakinya lalu beredar dengan hati yang sakit. Mak memang kejam!
Senah terkilan dengan sikap anaknya itu. Setelah bertahun-tahun tidak pulang menjenguknya di pondok itu, Azman muncul juga, tetapi dengan personaliti yang amat berbeza. Entah jin apa yang merasuk anaknya itu. Sharifah? Entah hidup entah tidak anak perempuannya itu. Ya Allah! Dugaan apakah yang Kau timpakan ke atasku ini?
___________________________________________________________________________
EPISODTIGA
Jauh di bumi Aberdeen, Scotland, terbaring sekujur tubuh yang sedang lena dibuai mimpi. Dengan botol Carlsberg masih digenggam erat di tangan, Sherry bangun daripada pembaringan dan duduk bersila di atas katil. Kepalanya yang berpinar-pinar menyucuk-nyucuk seluruh tubuhnya yang kepenatan dek berhibur di parti Sean semalam. Sean hanya mampu tersenyum melihat apa yang terpamer di depannya. Sherry, isterinya kelihatan bingung dengan hanya sebidang selimut menutupi tubuhnya. Dalam suasana sepi itu tiba-tiba Sean bersuara, “ I’m going to Malaysia to settle a few stuff. Your parents’ house is there, right?”
Mata Sharifah yang tadi kelihatan kuyu terbeliak seperti terlihat hantu mendengarkan kenyataan suaminya itu. Kemudian Sean menyambung lagi,” I want you to come and accompany me,and Sherry, no excuse this time. Everytime I tell you I’m going to Malaysia, you’ll always find ways of escaping, and I don’t wanna know why. But you’re not going anywhere now, because I think we should have our honeymoon there. Pulau Pangkor sounds great to make babies,huh?”
___________________________________________________________________________
EPISODEMPAT
Pulanglah, nak. Mak rindu, ayah pun rindu. Mak masak lauk kegemaran Ifa, gulai ikan sembilang.” 
“ Mak, Ifa sibuk sangat. Nanti kalau Ifa ada masa, Ifa baliklah, ya. Mak janganlah risau sangat.”
Kesabaran Ifa sudah berada di hujung kepala melayan kerenah emaknya yang mengada-ada itu. Ifa tidak akan membongkarkan rahsianya, tidak kepada Sean. Di mata Sean, Sharifah seorang wanita berharta, dan sebab itulah dia mendampingi Sharifah yang cukup dikenali sebagai Sherry dalam kalangan rakan-rakannya. Sharifah pula cukup sempurna serba-serbi. Rupa paras cantik, rambut berombak-ombak melepasi bahu, serta susuk tubuhnya yang peris model itu mampu menggoyahkan kelelakian mana-mana jantan.
Seawal usia 19 tahun, Sharifah telah behijrah ke bandar bagi mengubah kehidupan daifnya itu dan untuk membantu keluarganya. Nyata, dia telah tersilap langkah dengan memilih jalan kegelapan. Sean dan Sharifah bertemu di sebuah kelab hiburan, tempat Sharifah bekerja melayan tetamunya yang semuanya berajakan nafsu serakah. Sharifah tidak pernah membuka cerita tentang keluarganya, apatah lagi pondok buruk yang pernah dihuninya dulu. Baginya, keluarganya sudah meninggal dalam satu kebakaran yang meninggalkannya sehelai sepinggang sehingga terpaksa mencari rezeki yang haram begitu.
___________________________________________________________________________
EPISODLIMA
Sudah dua hari Senah berasa tidak sedap badan akibat bahana rindu terhadap anak perempuannya. Senah mengambil keputusan untuk pergi ke bandar sendiri untuk berjumpa Sharifah. Pak Salim yang risaukan keselamatan isterinya, turut mengikut Senah ke bandar. Lagipun, dia juga amat merindui anaknya itu. Dia mendapat alamat tempat tinggal Sharifah daripada teman sekampung Sharifah.
Senah dan Pak Salim terpacak di depan pintu pagar sebuah rumah agam besar, 10 kali ganda lebih besar daripada pondok buruknya sendiri. Dua tingkat, pintu pagar anti-karat yang berkilat, cantik….Mungkin inilah rupa sebuah rumah banglo yag sering dihebohkan oleh orang kampungnya. Dalam diam, Senah tersenyum sendirian memikirkan anaknya telah berjaya dalam hidup. Senah menekan punat yang kelihatan sangat asing baginya. Ting tong! Dua kali punat itu membuahkan bunyi. Tiba-tiba, pagar besi itu menggelongsor ke kiri dan terdengar derapan tapak kasut yang laju menuju ke arah mereka.
“ Apa yang mak buat di sini?!” tempik Sharifah. Hati Senah yang berdetak ibarat dipukul gong cuba disembunyikan di sebalik wajahnya yang tenang. “ Mak, baliklah mak. Ifa tak boleh nak layan mak sekarang, Ifa tengah sibuk ni. Nanti tak siap kerja Ifa melayan mak saja. Ifa kan dah cakap, bila Ifa senang-senang nanti, Ifa baliklah jumpa mak ayah, ye.” Senah tidak dapat menahan perasaannya. Sampai hati kau Ifa.Tanpa bertanya khabar, tanpa segaris senyuman pun, kedatangan Senah dan Pak Salim seolah-olah tidak diharapkan langsung, sebaliknya Sharifah melihat mereka seperti dia ternampak orang yang telah mati hidup semula.
“Ifa, mak dan ayah rindu Ifa…….” Belum pun sempat Senah menghabiskan ayat itu bersama sebak yang berbuku di dada, Sean tiba di sisi Sharifah.
“ Sayang, who are they?”
“ Eh, sayang. Entahlah, dia orang ni peminta sedekah saja. I pun tak kenal. Penat dah I cakap I tak ada duit, tapi dia orang ni degillah, Sean. Maybe they don’t understand Malay, honey”.
 Sepantas kilat, satu tamparan Pak Salim, guru silat Kampung Semangkuk hinggap di pipi Sharifah. “ Anak kurang ajar! Siapa yang ajar kau jadi begini Ifa! Dasar anak derhaka!” Berombak-ombak dada Pak Salim menahan marahnya. Senah yang sedari tadi teresak-esak, hanya mampu melihat adegan itu. Sean yang kelihatan bingung mengeluarkan suara,
” Anak?  Sherry, your mom and dad ke? You told me they had died in a fire.”
“ Memang dah mati pun. Itulah yang I cuba cakap. Dia orang ni ingat I anak dia orang. I think they’re crazy, Sean. Dahlah peminta sedekah, gila pula!” Sharifah tidak mahu mengalah. Iblis dalam dirinya sudah menguasai akal dan jiwa Sharifah.
Tidak sempat pun Sean berkata apa-apa, Sharifah menariknya ke dalam lalu menutup semula pintu pagar. Senah yang tersentak dengan tindakan anaknya itu jatuh terduduk di atas jalan tar. Dalam hatinya dia berdoa, ya Allah, jika benar ini anakku, tunjukkanlah kekuasaanMu, agar  dia sedar sebelum terlambat.
___________________________________________________________________________
EPISODENAM
Dalam kereta Mercedes Compressor milik Sean, Sharifah dan Sean hanya diam sejak tiba di KLIA. Makin lama dipandu, makin gelisah hati Sharifah. Matanya melilau keluar tingkap biarpun fikirannya melayang entah kemana. Macam pernah kulihat tempat ini, kata Sharifah dalam hati.
“ Sherry, cuba you tengok that house. It looks like it’s going to fall anytime soon. I rasa kalau I tiup pun dah boleh collapse kan?” Sean menyindir dalam longhat Melayu-Inggerisnya sambil tergelak kecil. Sharifah tidak ubah seperti ayam berak kapur apabila matanya menangkap rumah yang diperkatakan Sean tadi. Seiras dengan rumah yang pernah dihuninya 20 tahun sudah. Sharifah menafikan kata hatinya. Tidak mungkin pondok usang itu masih berdiri teguh. Kali terakhir dia mendapat berita daripada Azman, katanya rumah itu sudah tiada, tinggal tanahnya sahaja yang menjadi rebutan. Sharifah hanya termenung di dalam kereta bertemankan siulan Sean.
Pada waktu yang sama, Pak Salim sedang mengerjakan tanaman sayurnya di halaman rumah. Senah pula, hanya mampu terlantar di atas tikar mengkuang yang sama umurnya dengan pondok itu. Sejak kejadian Azman mengamuk itu, kesihatan Senah semakin teruk. Dia tidak mahu makan, apatah lagi mahu duduk dan bangun. Puas Pak Salim memujuknya, tapi hati keras orang tua itu sudah dikenalinya sejak dahulu lagi.
___________________________________________________________________________
EPISODTUJUH
Azman buntu memikirkan jalan untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutangnya dengan Chee Tee, seorang peguam juga merangkap taiko ceti haram di bandar itu yang diupah Azman untuk menguruskan urusan saman yang dikenakan terhadapnya oleh bekas isterinya, Rinanis. RM 10000, itulah jumlahnya, termasuk bunga dan faedahnya sekali. Azman masih teringat akan kata-kata Chee Tee tempoh hari, “ lagi tiga hari gua datang, kalau you masih minta tempoh, gua boleh kasi gerenti you akan doa dekat tuhan you tak pernah lahir pun di dunia ni, ada faham?!” Noktah. Kemudian talian diputuskan.
Rakan-rakan Azman semuanya tidak berguna. Zali si penagih dadah, Apit si kaki nombor, kaki botol dan berbagai-bagai lagi gelaran ‘kaki’. Jikalau adapun yang berguna, hanyalah Ijoy, seorang guru di sebuah skolah di bandar. Tetapi Azman tidak mahu menyusahkan kawannya itu yang telah banyak membantunya sehingga hubungan Ijoy dengan keluarganya retak.
Ketika itu juga, Azman terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang berada di luar batas kewarasan akal seorang manusia. Chee Tee mesti dibunuh! Azman fikir betapa wiranya dia jika dia berjaya menamatkan riwayat Chee Tee, dia akan menyelamatkan beratus-ratus lagi anak Melayu yang senasib dengannya, si penghutang yang papa kedana. Azman tersenyum sumbing sendirian dalam bilik yang gelap itu.
___________________________________________________________________________
EPISODLAPAN
Tangan Sean menggigil memegang kepingan dokumen yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali kepadanya pagi tadi.  Dokumen pengesahan kehamilan dan kematian kandungan, gambar-gambar Sharifah yang boleh ditakrifkan sebagai pornografi dan berbagai-bagai lagi dokumen yang tidak sanggup dilihatnya lagi. Orang asing itulah yang memintanya kembali ke Malaysia kerana katanya, ada hal yang ingin diselesaikan dan yang peliknya, dia menyuruh Sean membawa isterinya bersama. Tetapi, dalam berpuluh-puluh gambar itu, hanya ada sekeping gambar yang betul-betul mengumpannya matanya. Gambar dua orang kanak-kanak berlatarbelakangkan sebuah rumah usang. Rumah itulah yang dilihatnya bersama Sharifah semasa dia memandu dan rumah itulah yang diperkotak-katikkannya. Sean yakin kanak-kanak perempuan itu adalah Sherry- nya kerana rupa paras mereka mempunyai persamaan. Tapi, apa kaitan Sherry dengan rumah itu?
“Sherry!” Jeritan Sean bergema si seluruh ruang rumah banglo dua tingkat itu. Sharifah yang sedang bermalas-malasan di sofa, terduduk apabila terdengar namanya dipanggil.
“ Ye sayang, you nak apa?”
 “ Sudahlah you punya sayang! This, what is this? “ Sean melemparkan gambar-gambar yang dipegangnya tadi ke atas meja.
“ What’s all this,huh? When did you get pregnant?With whom did you do it?And, this is you, right,  Sherry?!” Sean menuding jari runcingnya ke arah kanak-kanak perempuan di dalam gambar tadi.

Bertubi-tubi soalan dilemparkan Sean. Setelah melihat Sharifah hanya tercengang dan bisu, Sean mendepakan tangannya dan terus mencekik leher jinjang Sharifah. Sharifah yang kelihatan nyawa-nyawa ikan merayu meminta dilepaskan dalam suaranya yang  tersekat-sekat. “ I’m sorry Sean! Okay, okay, I’ll tell you everything if you let me go.”
Segala-galanya telah terbongkar pada petang itu. Tentang kehamilan Sharifah yang tidak diketahui siapa penyumbang benihnya, tentang kerjaya pelacurannya sebagai punca ekonomi utama dan tentang misteri rumah usang itu.
“ How could you do that to your own parents, Sherry? Sejahat-jahat I pun, I will never treat my parents like stray dogs, whom had suffered a lot to give me the best I could get. Manusia jenis apa you ni? Even though I am not a believer of your faith, Islam, at least I respect my parents. I don’t care how much money you’ve got, I will never want my kids to have a mother like you, Sherry.”
“But………….” Belum sempat Sharifah menjelaskan apa-apa, Sean memintasnya.
“ Sekarang I nak you berambus. Get out, Sherry! I say, get out!!”

Esakan Sharifah tidak dipedulikan. Sebaliknya, Sean mengheret Sharifah hingga ke pintu hadapan. “ You jangan harap I akan terima you balik unless u kneel before your parents and beg them to forgive you!” Bam! Dengan sebaris ayat keramat itu, pintu rumah banglo itu dihempas kuat. Sekelip mata, segala-galanya hilang. Harta, suami, harga diri. Ya Allah! Pertama kali setelah 20 tahun, Sharifah akhirnya menyebut nama penciptanya. Matanya berpinar-pinar dan dunia semakin gelap sebelum semuanya menjadi hitam kelam.
___________________________________________________________________________
EPISODSEMBILAN
Lantai rumah itu dipenuhi darah manusia.Sekujur tubuh sedang mengerang kesakitan akibat tusukan mata pisau yang tajam. Azman tidak pasti sama ada ingin tersenyum bangga ataupun menangis kekesalan melihatkan wajah itu. Apa yang penting, dia merasa puas melihat Chee Tee merayu-rayu padanya, minta jangan dibunuh.  Hanya dengan satu tikaman yang menggabungkan segala elemen dendam kesumat dan kebencian di perut suara rayuan itu terus senyap. Rumah itu juga sunyi seketika sebelum  kedengaran deruman enjin di luar rumah. Aku mesti lari dari sini! Tapi ke mana? Aku sudah tiada apa-ap. Rumah, kereta, semuanya sudah kujualkan untuk bayar hutang pertaruhan lumba kuda. Masih sempat Azman bermonolog. Tiba-tiba, Azman mencapai satu akal. Pondok usang!
___________________________________________________________________________
EPISODSEPULUH 
Sharifah hanya tersedar apabila merasakan dirinya kesejukan yang amat sangat. Hujan lebat pada malam itu menzahirkan perasaannya yang amat terseksa pada masa itu. Ingin diminta daripada Sean, tiada gunanya. Hanya satu perkara bermain di minda Sharifah, iaitu pondok usang yang pernah menjadi rumahnya suatu ketika dulu. Itulah satu-satunya syurga dunia yang selamat baginya. Dengan kudrat yang masih berbaki, Sharifah bangun. Dengan keadaan sehelai sepinggang, matlamat Sharifah hanya untuk kembali ke pondok buruk yang pernah dibencinya.
___________________________________________________________________________
EPISODSEBELAS
Di sana, Senah semakin tenat. Pak Salim kelihatan sangat resah dengan keadaan isteri kesayangannya itu. Bila-bila masa sahaja nyawanya boleh ditarik sakaratulmaut. Pak Salim tidak mampu mendapatkan rawatan untuk Senah, sedangkan bumbung yang bocor di sekitar pondok itupun tidak mampu dibaikinya. Dengan dua tiang seudah ranap dimakan anai-anai, pondok itu sudah senget sebelah. Jika dilihat dari jauh, tidak ubah seperti rumah puaka, seperti yang sering disindir oleh budak-budak Kampung Semangkuk. Tetapi, semua itu tidak pernah menjadi masalah kepada pasangan yang menghuni pondok itu. Berbanding dengan manusia yang lebih malang daripada mereka sperti yang berada di Afrika dan Gaza, Senah dan Pak Salim cukup bersyukur dengan satu-satunya harta yang mereka ada itu. Pondok itulah segala-galanya bagi mereka, selain daripada Allah yang maha Esa.
“ Tahanlah Senah. Jangan tinggalkan abang keseorangan di sini. Abang ada Senah seorang saja. Abang sayang Senah. “ Terdengar esakan kecil Pak Salim di hujung ayat.
“Sudahlah abang. Abang janji dengan Senah, jangan jual rumah dan tanah ni walau apapun terjadi, biar pun Senah dah tak ada bersama abang.” Senah mengeluh lalu menyambung, “ Nampaknya, impian Senah nak lihat anak-anak sebelum Senah pergi tak kesampaian, bang. Pondok ini jugalah yang menjadi tatapan terakhir Senah.” Kata-kata itu memecahkan empangan air mata Pak Salim yang cuba ditahan daripada dilihat Senah. Hati lelakinya menangis juga. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Senah, namun apakan daya.
Tiba-tiba, drama air mata itu terganggu dengan satu suara yang amat dikenalinya. “ Mak, ayah!” Berkali-kali panggilan itu didengarinya. Senah menyangka itu hanya ilusinya sahaja, tetapi melihat reaksi Pak Salim yang juga seperti terkejut, dia yakin suara itu satu realiti. Pak Salim bergegas ke pintu depan. Matanya tertancap pada wajah Azman yang kelihatan separuh mati dengan pakaian berlumuran darah. Hendak melangkah ke hadapan, tiba-tiba Azman rebah ke tanah. Tenaganya sudah hilang setelah berjalan dari bandar Kuala Lumpur ke Kampung Semangkuk. Pak Salim memapah anaknya itu ke dalam rumah. Belum pun sempat tangga yang terakhir dinaiki, Azman berlari mendapatkan ibunya. Senah hanya mampu tersenyum melihat anak bongsunya itu.
“ Maafkan Man, mak. Man dah tak ada apa-apa mak. Inilah balasan tuhan, mak. Man minta ampun, mak.” Berkali-kali Man mengucup tangan ibunya yang kemudiannya singgah ke kaki ibunya bersama linangan air mata.

“ Sudahlah Man. Dah lama mak maafkan kau dan Ifa. Kau masih anak mak, Man. Man, dengar cakap mak ya. Pondok inilah satu-satunya harta yang mak dan ayah kau simpan untuk kau berdua. Mak harap kau faham mengapa mak tak nak kau gadaikan pondok ni.” Man hanya mengangguk mendengar suara emaknya yang tersekat-sekat itu.

“Kau jagalah rumah ni elok-elok, Man……” Dengan itu, genggaman kejap Senah pada tangan Azman terlepas. Kepalanya tertoleh ke sebelah. Sebelum menutup mata, pandangannya sempat menangkap wajah Sharifah yang kelihatan sedang berlari ke arahnya. “ Alhamdulillah………….” Senyap. Tiada deruan nafas. Tiada denyutan nadi. Tiada pergerakan. Hanya senyuman di bibir. Innalillahiwainnailahirajiun.
Pak Salim menggoncang-goncang tubuh kaku Senah. Azman tersandar ke belakang sambil memeluk lututnya. Sharifah meluru ke arah pondok itu. Walaupun tubuhnya sudah lemah longlai, dia tetap merangkak menaiki tangga kayu itu. Ibu! Sharifah tahu ibunya sudah tiada, tetapi dia seperti sudah hilang akal apabila merung-raung memanggil ibunya. Dia memeluk kaki ibunya dan memberi ciuman yang bertubi-tubi. Ya Allah, kembalikanlah ibuku! Hanya itu yang disuarakan hatinya. Pak Salim menarik tubuh anaknya itu dan meraihnya dalam pelukan yang hangat lalu berkata, “ Ifa, ibu sudah maafkan Ifa. Ifa dah tolong dia pergi dengan tenang. Sabar ya, nak.” Sebaris ayat itulah yang mengembalikan Sharifah ke alam nyata.
Suasana rumah itu senyap. Hanya hujan renyai yang menitis di atas atap zink itu sahaja yang mengisi kekosongan rumah itu. Dalam hati ketiga-tiga anak-beranak itu, mereka amat bersyukur kerana diberikan sebuah pondok buruk itu. Pondok buruk yang telah memberikan pelrindungan, pondok buruk yang telah menjadi punca kasih sayang, pondok buruk yang telah mempertahankan semula hati-hati yang pernah terpisah. Bersyukurlah, manusia.  

EPISODTAMAT
                                       
                                     

"................Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa." surah An-Nisaa: 36

p/s : ini cerpen pertama aku..i did it unintentionally actually. Aku bosan sangat buat karangan fakta(5 tahun aku belajar, asyik buat karangan fakta je), so ambik risiko ni. Asalnye, ni homework BM.Soalan Percubaan SPM negeri ape ntah. Soalannya : karang ebuah cerpen tentang benda yang sudah buruk tetapi masih berguna. Mula-mula, aku ingat nak buat cerita lawak tentang sebuah kasut buruk yang akhirnya menjadi rumah seekor tikus, tapi bila fikir balik, sudah-sudahlah tu atina dengan lawak kau. Cuba serius sikit. Nah, ambik kau! nak serius sangat. Aku ambik masa 3 jam nak karang cerpen ni( 12-3 pagi)...wahh! buang tabiat betul aku ni kan. dahlah mase tu nak dekat SPM..boleh lagi stay up buat cerpen. last-last, real SPM buat karangan fakta jugak.hahaha. Anyway, aku bangga dengan cerpen ni sebab ni karya sulung aku. Taubat tak nak buat cerpen dah lepas ni!
Till then, tata!
                          

No comments:

Post a Comment

U gotta problem wimme??